Thursday, July 31, 2008

AUKU

AUKU atau Akta Universiti dan Kolej Universiti telah mula diperkenalkan pada tahun 1971. Beberapa pindaan kemudiannya telah dibuat pada tahun 1975. Antara mereka yang terlibat secara langsung termasuklah Y.A.Bhg. Tun Dr Mahathir Muhamad yang pada ketika itu merupakan Menteri Pelajaran Malaysia.

Sememangnya terdapat sejumlah kepincangan di awal perlaksanaan Auku. Persoalan seperti kenapa Auku dilaksanakan dan kepada siapa Auku ditujukan akan menjawab sama ada perlu atau tidak Auku sekadar dipinda atau sewajarnya dimansuhkan.

Sejarah membuktikan bahawa Dr Mahathir atau Chedet bukan asing dalam gerakan mahasiswa. Partisipasi beliau dalam menggerakkan jentera pelajar, menyuarakan keperitan dan kesusahan rakyat tidak mungkin dapat dinafikan. Gerakan mahasiswa pimpinan beliau sering memberikan tamparan kepada pihak pemerintah. Suara mahasiswa jelas sebagai the third voice telah menjadi kuasa penyeimbang kepada pemerintah selain pihak pembangkang yang berorientasikan politik.

Selain itu, komitmen dan gerakan mahasiswa kampus khususnya Universiti Malaya telah banyak menyumbang bagi menyelamatkan karier politik beliau yang pernah dibuang dari UMNO ekoran kritikan keras beliau dalam bukunya “Malay Dilema”. Semangat juang mahasiswa kampuslah yang telah menjuang kembali Dr Mahathir di arena politik nasional.

Setelah menyedari hakikat tersebut, pada ketika beliau menjadi sebahagian dari pemerintah semacam hak dan kebebasan yang pernah beliau nikmati dalam gerakan anak muda yang berpendidikan tinggi ini ingin pula dinafikan. Teringat saya pada perbilangan kata, “ibarat melepaskan anjing tersepit”.

Justeru, dapat kita fahami bahawa Auku walau pada umumnya terkesan kepada seluruh warga IPTA dan IPTS tetapi hakikatnya ditujukan khusus kepada mereka yang aktif berpatisipasi dalam gerakan mahasiswa. Mereka yang mampu menggugat kestabilan politik nasional dan survival pihak tertentu. Auku tidak akan menghantui anda yang hanya berada di alam kitaran 3K iaitu kuliyah, kefe dan kolej.

Auku menjadi alat yang paling ampuh bagi menyekat gelombang anak muda yang berpaksikan kebenaran dan keadilan, yang bebas dari pengaruh pihak ketiga dari terus membayangi perilaku dan aktiviti pihak pemerintah. Bermula tahun 1980an sehingga sekarang, kita dapat melihat kesan yang amat mendukacitakan. Tiada lagi pekikan slogan “student power”, “student control” dan sebagainya terungkap dibibir mahasiswa. Jika ada, jumlahnya amatlah sedikit.

Hal ini seperti yang diungkapkan oleh Prof Muhamad Abu Bakar dalam bukunya “Mahasiswa Menggugat” iaitu proses pemandulan idealisme dan aktivisme mahasiswa. Mahasiswa diajak mejadi lembu, yang ditentukan arah mana yang akan dituju. Berdikari? Jauh sekali.

Alam mahasiswa semacam disempitkan hanya pada buku dan kuliyah sedang kehidupan adalah lebih dari sekadar buku dan dewan kuliyah. Kadang-kadang ada juga terlintas difikiran saya, mungkin mahasiswa kini ibarat katak yang sudah bebas melompat dari tempurung kegelapan tetapi diikat pula kakinya.

Ya, Auku tidak boleh disalahkan seratus-peratus dalam hal ini. Dengan kejelasan idealisme dan sudut pandang alam yang benar, pastinya perkara ini dapat dibendung. Namun, tidak boleh tidak, Auku tetap memberikan implikasi kepada kelahiran graduan yang gagal dalam alam realiti, pasca universiti.

Justeru, setelah kita fahami siapa fokus utama Auku dan kenapa Auku dilaksanakan, pastinya kita sudah mampu membuat keputusan. Walaupun pada ketika ini, untuk memansuhkan Auku suatu yang mustahi, tetapi kesediaan pemerintah meminda beberapa pekara dalam Auku sewajarnya disambut baik oleh semua pihak.

Namun, harus kita fahami, pindaan berupa kosmetik kepada Auku tidak akan merubah apa-apa kepada universiti, pelajar dan pengajarnya. Jelas Prof Aziz Bari, pensyarah Undang-undang UIAM bahawa, “pindaan yang ingin dibuat hanyalah bersifat kosmetik...justeru, ia sewajarnya dimansuhkan sahaja.” dalam satu Seminar AUKU yang diadakan di Dewan Perniagaan Cina, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pun begitu, pada pendapat saya, Seksyen 15 dan 16 harus diberikan penekanan yang sewajarnya. Secara umum seksyen tersebut jelas bertentangan dengan hasrat pemerintah khususnya Kementeriaan Belia dan Sukan dalam usaha meramaikan jumlah belia yang aktif dalam menggerakkan persatuan-persatuan dan kelab-kelab baik di peringkat kawasan mahupun di peringkat nasional menerusi Akta Belia yang baru diperkenalkan.

Kesediaan Kementeriaan Pengajiaan Tinggi (KPT) membenarkan ahli politik secara terbuka menyampaikan ceramah yang berkaitan dengan subjek pembelajaran harus dipuji. Keterbukaan mahasiswa berdaftar dengan parti politik menandakan politik negara semakin menghampiri kematangannya. Kebenaran para pelajar aktif berpersatuan di luar kampus tanpa kebenaran HEP jelas membantu mendewasakan dan merakyatkan mahasiswa. Selain itu, penambahbaikan sistem judisiri yang melibatkan mahasiswa suatu keputusan bijak. Masakan tidak, ungkapan William Shakespears, anak muda ibarat, “cold in blood, green in judgement”.

Bacaan kali kedua di Dewan Rakyat pada Ogos hadapan diharap dapat memberi sinar baru kepada seluruh warga IPT. Segala perubahan diharap benar, jujur dan ikhlas kerana mahasiswa, demi mahasiswa, unutk mahasiswa.

Abu Qassim Nor Azmi, BSMS

Thursday, July 10, 2008

MEMBANGUN MAKNA MADANI INSANI PELAJAR KONTEMPORARI



Persidangan Dunia mengenai Pendidikan Muslim yang diadakan buat pertama kalinya di Jeddah dari 31 Mac hingga 8 April 1977 menghasilkan Perisytiharan Makkah yang menetapkan bahawa matlamat pendidikan hendaklah merangkumi perkembangan seimbang dalam keseluruhan peribadi insan melalui latihan rohaniah, intelek, rasional, perasaan dan indera; dan wahyu serta akal berperanan sebagai sumber pendidikan.

Laporan Jemaah Menteri yang dibentangkan pada 1979 memperlihatkan perselarian dengan Perisytiharan Makkah, dan menjadi permulaan kepada pembentukan falsafah pendidikan negara yang lebih luas. Faktor keseimbangan dan kesepaduan dimanifestasikan dalam Falsafah Pendidikan Negara yang dirumuskan pada 1988 dan dimaktubkan dalam Akta Pendidikan 1996. Falsafah Pendidikan Negara menegaskan bahawa, “Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertangungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteran diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara”. Dalam penegasan tersebut tertera harapan dan objektif insaniah bersepadu terhadap pembangunan individu, baik dari soal intelektualisme, idealisme, aktivisme mahupun spiritualismenya, ke arah pembinaan masyarakat ulung yang madani dan kontempolari.

Masyarakat Madani: Wilayah Pelajar

Idea Masyarakat Madani

Konsep masyarakat madani telahpun dibahaskan dalam falsafah politik Islam lebih kurang seribu tahun dahulu seperti kajian Ibn Khaldun dan Al-Farabi. Dalam zaman moden, konsep yang hampir sama atas nama masyarakat sivil telah dibahaskan oleh sarjana barat seperti Hegel, de Tocqueville, Durkheim dan Habermas.

Ibn Khaldun menggunakan istilah madaniyyah yang merujuk kepada peradaban dan kemakmuran hidup serta amat berkait rapat dengan masyarakat ketamadunan (civilized society), “…it has a higher form or religion, a well-organized state, a system of law, city life, a developed system of writing (script), and distinctive forms of art and architecture.” (Beg, M.A.J.,1982).

Manakala Al-Farabi menurut D.M Dunlop (1961), dalam bukunya Fusul al-madani (Aphorisms of The Statement), menegaskan bahawa dalam masyarakat madani pada tahap rendah, anggota-anggotanya saling bekerjasama sekadar untuk mendapat keuntungan peribadi, membantu dari aspek kebendaan dan sekadar berdagang dan berniaga. Sifat ananiyyah, atau nafs-nafs masih menebal dalam jiwa anggotanya. Manakala, masyarakat madani pada tahap yang lebih tinggi para anggotanya berganding bahu membina tamadun luhur iaitu “untuk mencari dan menegakkan kebenaran, mencapai kebahagiaan, memupuk kecintaaan terhadap ilmu dan memakmurkan masyarakat dengan perkara-perkara baik dan mulia”. Menurut Osman Bakar (1998), Al-Farabi juga meletakkan ajaran agama sebagai teras kepada pewujudan masyarakat madani.

Prof Syed Naquib Al-Attas (1977), mengenengahkan makna tamadun sebagai “keadaan kehidupan insan yang bermasyarakat yang telah mencapai tahap kehalusan tatasusiala dan kebudayaan yang luhur bagi seluruh masyarakat”.

Y.Bhg. Dato’ Seri Anwar Ibrahim, membuat kesimpulan bahawa masyarakat madani adalah, “sistem sosial yang subur yang berasaskan prinsip moral yang menjamin keseimbangan antara kebebasan perseorangan dan kestabilan masyarakat; masyarakat yang mendorong daya usaha serta inisiatif individu baik dari segi pemikiran, seni, ekonomi dan teknologi, sistem sosial yang cekap dan saksama serta perlaksanaan pemerintahan mengikut undang-undang…”


Ciri-Ciri Masyarakat Madani

Daripada perbahasan tadi, dapat kiranya kita merumuskan bahawa masyarakat madani memiliki beberapa ciri-ciri wajib, anataranya, sebuah masyarakat yang mengamalkan budaya murni berteraskan keadilan, keihsanan dan kebenaran dalam semua aspek sosio-budaya, ekonomi dan politik. Selain itu, masyarakat madanai juga mengutamakan hak-hak asasi manusia yang berpaksikan kehidupan berakhlak serta keutamaan kepada menunaikan tangaungjawab individu dan masyarakat bagi memelihara dan mempertahankan kesejahteraan dan keamanan berlandaskan undang-undang yang adil dan saksama. Masyarakat yang memberi keutamaan keperluan asas, dinamika budaya, kecerdasan dan kemandiriaan ekonomi, menjaga kelestarian alam dan mewujudkan partisipasi aktif di kalangan rakyat.

[1]Sebuah masyarakat madani juga penting untuk dilihat dari aspek penyanjungan tinggi perkembangan dan penghayatan ilmu dan budayanya, pembentukan peribadi unggul, kaya dengan daya cipta yang kretif hasil kejelasan makna kesejagatan ilmu seperti yang diungkap oleh Prof Wan Mohd Nor Wan Daud, sebagai “seseorang yang boleh menyimpulkan makna seharusnya mempunyai pemikiran yang analtis dan sintesis yang berdaya cipta”.

Wilayah Pelajar

Justeru, dalam konteks masyarakat pelajar, idea madani ini sewajarnya dihadam dan diorientasikan dalam bentuk gerakan yang lebih menyeluruh dan sistematik. Rangka masyarakat madani ini, menurut Al-Farabi tidak terhad kepada peringkat kampung, bandar, kotaraya, dan negara, tetapi juga boleh jadi pada peringkat global yang jauh lebih luas medan wilayahnya mahupun yang lebih kecil ruang pengaruhnya seperti peringkat sekolah dan masyarakat kampus.

Apa yang ingin ditegaskan oleh penulis menerusi idea masyarakat madani ini adalah kesepaduan dan kesepakatan idea agung yang mampu mengikat para pelajar, generasi muda, penerus agenda bangsa ini pada aras pemikiran yakni wahdatul fiqr walau perberbeza ras dan budaya yang mungkin menjadi penghalang sekiranya idea pemersatu ini dipolemikkan demi kepentingan sebilangan kecil masyarakat, kelompok yang kurang beradab. Penulis juga melihat kompenen asas masyarakat madani ini seperti agama, kehalusan akhlak, serta nilai ilmu dan penghayatannya boleh meghasilkan keputusan yang positif terhadap permasalahan remaja yang semakin meruncing, baik dari soal sahsiahnya, adab dan hakisan budaya ketimurannya, gaul-sosial serta tahap kesarjanaan khusus peringkat mahasiswa pengajian tinggi.

Fenomena kelesuan mahasiswa, yang disebut oleh Prof Muhammad Abu Bakar, dalam Mahasiswa Menggugat, 1975 yang dapat penulis katakan sebagai wajib-haraki untuk dihadam oleh segenap mahasiswa, institut pengajian tinggi awam mahupun swasta, antara lainnya bertitik-tolak dari kegagalan menggagaskan idea-idea besar yang mampu menyepakati setiap suara majoriti dari suara-suara kebenaran. Justeru, Malek Ben Nabi, dalam unggkapan beliau menyatakan “masyarakat yang ingin maju memerlukan idea pendorong (guiding ideas) bagi memacu perjuangan” dan di sini relevannya idea masyarakat madani sebagai guiding idea terhadap kebangkitan semula mahasiswa.

Justeru, pembinaan masyarakat madani dari konteks yang sebenar hanya akan dapat direalisasikan jika terlaksana dengan jayanya proses pembentukan fardhan muslim dari konteks Islami dan individu bersepadu dari konteks umum. Namun, tidak boleh tidak, manusia mahupun insan dan proses perkembangannya tidak boleh bersifat exclusive, tetapi sangat perlu kepada strategi yang inclusive dan jama’iy bersepadu yang menggunapakai kelebihan individu untuk menampung kekurangan individu lain dan proses ini berlangsung secara timbal-balik dan berterusan.

Insan Adabi: Pendukung Cita-cita Madani

“Insan berilmu akan memiliki kekuatan dan kesediaan untuk terus menerima pandangan – menerima teguran, menerima nasihat – menerima pendapat, berteraskan sifat takwa dan keimanan yang mengenali kebesaran Ilahi. Bahawa yang sempurna itu adalah Allah juga. Kerana itu insan berilmu mengamalkan sifat merendah diri – laksana padi, semakin berisi, semakin tunduk. Insan berilmu jika sekalipun bergelar mahaguru, masih mengamalkan budaya murid, masih belajar dan terus belajar. Insan berilmu bersedia menjadi makmum meskipun diiktiraf sebagai imam. Segala ini berlaku jika sifat insani, sifat pengabdian diri kepada Ilahi subur berakar di dasar hati – segar mekar di denyut nadi”.[2]

Memimpin sebuah gagasan besar, yang sarat dengan nilai pembinaan individu dan masyarakat, pendukung idea madani ini harus bersedia untuk melakukan penjernihan adab insani, agar lahir secara langsung atau tidak langsung, sifat metamofasikal yang membawa perubahan diri kea rah yang lebih baik. Kebanyakkan di kalangan orang yang baik adalah mereka yang terpelajar. “Baik” di sini menurut Al-Attas, merujuk kepada “yang meliputi kehidupan spiritual dan material seseorang, yang berusaha menanamkan kualiti kebaikan yang diterimanya”. Justeru, yang dimaksudkan dengan terpelajar adalah yang beradab insan adabi. “Orang baik adalah orang yang insaf sepenuhnya tanggungjawab dirinya kepada Tuhan Yang Hak; memahami dan menyelenggarakan penunaian keadilan terhadap dirinya dan diri-diri lain dalam masyarakatnya; yang terus berupaya meningkatkan setiap aspek dalam dirinya menuju kesempurnaan sebagai insan adabi”.[3]

Al-Attas seterusnya mendefinisikan adab seperti berikut; “adab adalah pengenalan dan pengakuaan terhadap realiti bahawa ilmu dan segala sesuatu yang terdiri daripada hierarki yangs sesuai dengan kategori dan tingkatannya, dan bahawa seseorang itu memiliki tempatnya masing-masing dalam kaitannya dengan realiti, kapsiti, potens fizik, intelektual, dan spiritual”. [4]Pengenalan di sisni bermaksud mengenal kembali (recognize) Perjanjian Asal (primordial convenent) antara manusia dengan Tuhan. Selain itu, hal ini turut menunjukkan bahawa setiap sesuatu di alam ini punya tempat masing-masing. Pengakuan pula bermaksud melakukan sesuatu yang sesuai dengan apa yang telah dimaksudkan di atas.

Justeru, dapat disimpulkan pengertian adab dalam konteks insan adabi ini kepada tujuh perkara iaitu, pertama, suatu tindakan untuk mendisiplinkan jiwa dan fikiran. Kedua, pencarian kualiti dan sifat jiwa dan fikiran yang baik. Ketiga, perilaku yang benar dan sesuai yang berlawanan dengan perilaku salah dan buruk. Kempat, ilmu yang dapat menyelamatkan manusia dari kesalahan dalam mengambl keputusan dan dari sesuatu yaag tidak terpuji. Kelima, pengenalan dan penakuan kedudukan sesatu secara benar dan tepat. Keenam, suatu kaedah mengetahui yang menghasilkan kedudukan sesuatu secara benar dan tepat. Ketjuh, jelmaan keadilan sebagaimana ditonjolkan oleh hikmah, “knowledge of proper places of things”.

Sebagai pelajar dan mahasiswa, penggerak generasi muda, kita perlu keluar dari kepungan unsur robotik yang telah mula membarahi keluarga besar ini. Dengan memahami konsep adab dari tasawwur yang lebih luas, penulis percaya generasi pelajar kontempolari mampu melakukan pemurnian pandangan alam pendidikan, yang bukan sahaja melibatkan proses ta’lim, pengajaran, tarbiyyah, pengembangan idea malah ta’dib, proses mendidik akhlak mulia, innama bu’ithtu li-utammima husna al-akhlaq. Selain itu, dengan kecairan makna adab dalam setiap praktis pelajar dan mahasiswa, mereka akan lebih berhati-hati, prihatin dan peduli dengan setiap pembenaran niat dan matlamat, lontaran kata bicara serta perlaksanaan tugas dan gerak laku, agar tidak menyalahi kedudukan dan tempat asal sesuatu perkara, sehingga membawa mereka lebih menghargai dan mencintai nilai kebenaran dan keadilan sejagat.

Dengan penuh rasa keinsafan terhadap prinsip kebenaran dan keadilan yang didasarkan kepada ilmu pengetahuan tentang tempat letak asal sesuatu perkara, penulis yakin bahawa idea masyarakat madani dalam wilayah pelajar dan mahasiswa akan dapat ditunaikan oleh insan adabi yang penuh rasa tanggungjawab terhadap yang hak, baik hak bersifat horizontal mahupun yang bersifat vertikal.

Kesimpulan

Pembangunan sebenar menurut Prof Wan, adalah lebih tepat untuk digunakan istilah pengislahan yang membawa konotasi kebaikan dari semua segi, dalam semua jenis kegiatan yang dapat dilihat dari kata dasar islah yang bermaksud perbuatan kepada seseorang atau sesuatu yang membuatnya baik, betul dan teratur. Mutu pengislahan sesuatu bangsa sangat bergantung kepada nilai kebaikan diri dan masyarakat yang ditinggalkan kepada masyarakat lain dan alam persekitarannya. Justeru, Dasar Pengislahan Negara, DPN adalah untuk mencapai pengislahan berimbang ke arah mencipta masyarakat yang berpegang teguh pada dasar-dasar agama dan akhlak, lebih bersatu-padu, lebih beradab, maju ekonomi dan teknologi dan adil .[5]

Oleh itu, kesepaduan penghayatan ilmu pengetahuan, penggerak insan adabi, luhur budi dan akhlak, serta kelompok masyarakat madani yang terkehadapan nilai, sangat penting bagi mencorak seterusnya mengamalkan dengan yakin dan istiqamah dasar pengislahan negara. Cabaran pengislahan individu dan dunia luar menggariskan lapan perkara, antaranya penyelidikan dan pengajiaan, peningkatan ilmu pengetahuan, keikhlasan niat, pemulihan akal, penyuburan kehidupan peribadi, pentadbiran dan pengurusan keluarga, keamaan dalam negeri, dan keamanan dunia.

Segala yang digariskan ini adalah semata mengarah kepada matlamat mengecapi kebahagian hakiki yang menurut Imam al-Ghazali dalam Alchemy of Happiness, dan jumhur ulama mu’tabar sebagai, “ilmu pengenalan mengenai Allah (ma’rifat Allah) manakala Al-Attas berpendapat, “kebahagiaan bukan dianya merujuk kepada sifat badani dan jasmani insan…kebahagiaan itu merujuk kepada keyakinan diri akan Hakikat Terakhir yang Mutlak yang dicari-cari itu- yakni: keadaan diri yang yakin akan Hak Ta’la…” Walau dengan kebenaran ilmu, keadaban insan, pendukung gagasan besar madani, namun tanpa nilai keberanian dan kesungguhan segalanya tidak mungkin akan berhasil seperti mana yang diungkapkan oleh Imam Hassan al-Banna, “sifat kelakian (kejantanan) tidak akan lahir kecuali dengan keberanian, ketekunan, kesungguhan dan amal usaha yang bersungguh-sungguh dan terus-menerus.”[6]



[1] Ayub, Musatafa Kamil, 2001, Merialisasi Masyarakat Madani, Citra Politik Alaf Baru, IMAD,hlm.12-13

[2] Titah Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah, pada majlis perasmian Konvensyen Pendidikan Suluh Budiman XIII di Ipoh, 8 September 2004.

[3] Wan Daud, Wan Nor,1995, Falsafah dan Amalan Pendidikan Islam, Syed M. Naquib Al-Attas, Satu Huraian Konsep Asli Islamisasi, Penerbit Universiti Malaya, hlm.117

[4] Wan Daud, Wan Nor,1995, Falsafah dan Amalan Pendidikan Islam, Syed M. Naquib Al-Attas, Satu Huraian Konsep Asli Islamisasi, Penerbit Universiti Malaya, hlm. 119

[5] Wan Daud, Wan Mohd Nor,2005, Pembangunan di Malaysia, Kearah Satu Kefahaman Baru Yang Lebih Sempurna, Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya

[6] [6] Mohammad, Yusri,1996, Kemantapan Harai Dalam Mendepani cabara Semasa, Terbitan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia, PKPIM, hlm.170


ABU QASSIM NOR AZMI
UIAM, KUANTAN