Terlebih dahulu saya mewakili Majlis Pehubungan Kampus (MPK) Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) merakamkan jutaan penghargaan kepada Kerajaan Malaysia menerusi Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) atas kesudian mengkaji semula caj perkhidmatan bagi pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN).
Sememangnya PTPTN telah banyak berjasa kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana untuk menjejakkan kaki mereka ke menara gading. Sehingga ke hari ini, seramai 1.2 juta peminjam di seluruh negara dengan dana terkumpul sebanyak RM23 bilion. Secara puratanya sebanyak RM2.1 bilion diperuntukan oleh PTPTN setiap tahun bagi memenuhi keperluan tersebut sejak ia mula beroperasi pada November 1997.
Setelah lebih sedekad beroperasi, PKPIM berpendapat, kesediaan KPT menerusi perakuan YB Menteri, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengkaji caj perkhidmatan tiga peratus PTPTN adalah suatu yang wajar dan bertepatan dengan kondisi dan suasana ekonomi dan politik semasa. Dengan mengambil kira faktor syariah dan beban tertanggung di kalangan peminjam, PTPTN dan KPT mempunyai sebab kukuh untuk menyemak perlaksanaan caj perkhidmatan tersebut.
Walau bagaimanapun, PKPIM jelas bahawa PTPTN tidak mempunyai sumber kewangan khusus melainkan berharap kepada pembiaya yang turut mengenakan pelbagai caj termasuk caj kewangan yang lebih tinggi berbanding tiga peratus yang dikenakan kepada peminjam PTPTN. Seperti mana yang telah dilaporkan oleh Utusan Malaysia halaman 5 bertarikh 25 April 2008, sehingga ke hari ini sebanyak RM450 juta telah diperuntukkan oleh kerajaan untuk memenuhi tuntutan lebihan faedah tersebut.
Justeru, kesedian KPT dan PTPTN menyemak perlaksanaan caj tiga peratus berkenaan adalah kemenangan peringkat awal yang harus disyukuri. Walau apa sekalipun keputusan kajian, PKPIM berpendapat berberapa persoalan harus diambil kira. Antaranya, sejauh manakah kesan perngurangan caj tersebut kepada status kewangan negara? Apakah akan ada perubahan kepada perjanjian di antara kerajaan dan pihak pembiaya yang memungkinkan perubahan kepada nilai caj yang sedia ada? Siapakah yang terkesan dari hasil kajian tersebut? Adakah semua akan terlibat atau kepada bakal peminjam baru?
Oleh hal yang demikian, sebagai tambahan, PKPIM mengusulkan agar KPT dan PTPTN merangka Pelan Induk Pengukuhan Sumber Kewangan (PIPSK). Bagi merialisasikan pelan tersebut, pertama, PKPIM mencadangan satu jawatankuasa khas dibentuk untuk mengkaji, menilai, merangka, dan mencari inisiatif baru dalam usaha menambah baik sistem sumber kewangan PTPTN.
Kedua, mencari persetujuan bersama antara pihak kerajaan dan pihak pembiaya dengan memberi fokus kepada nilai caj paling minimum yang boleh dilaksanakan. Sekiranya caj baru yang lebih minimum antara PTPTN dan pihak pembiaya dapat dimetrai, secara langsung caj tiga peratus sebelum ini akan dapat setidaknya dikurangkan.
Ketiga, memperkemas sistem pungutan pinjaman. Proses pembayaran balik harus lebih mudah dan tidak membebankan peminjam. Bagi cadangan pemotongan gaji sebelum ini, PKPIM berpendapat ia harus mengambil kira status kewangan dan nilai tanggungan peminjam dan pelaksanaanya perlu ke arah mewujudkan situasi menang-menang baik di pihak PTPTN mahu pun peminjam.
PKPIM tetap optimis bahawa keputusan yang positif akan dicapai demi kebaikan bersama. PKPIM akan terus menyokong segala dasar kerajaan yang membantu membangun taraf hidup rakyat, khususnya sektor pendidikan negara.
Akhirnya, PKPIM berharap supaya usaha ke arah pendidikan percuma akan dapat dipanjangkan sehingga ke peringkat tertier dengan menggunakan rangka ketimuran. “Dari kita, kepada kita, untuk kita”.
ABU QASSIM NOR AZMI
Setiausaha MPK
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia, PKPIM
No comments:
Post a Comment