Tuesday, August 26, 2008

Sejarah Permatang Pauh

Seramai 58,459 pengundi berdaftar di kawasan Parlimen Permatang Pauh akan keluar mengundi mulai jam 8 pagi bagi memilih wakil mereka di Dewan Rakyat. Pilihan raya kecil itu menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Arif Shah Omar Shah; Datuk Seri Anwar Ibrahim (Parti Keadilan Rakyat) dan Hanafi Mamat (Angkatan Keadilan Insan Malaysia). Keputusan sebelum ini memihak kepada calon PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dengan meraih 30,338 undi, menewaskan pencabarnya, calon BN, Datuk Pirdaus Ismail yang memperoleh 16,950 undi dengan majoriti 13,388.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan daftar pemilih mengikut pecahan kaum keseluruhan di Parlimen Permatang Pauh, yang membabitkan tiga kawasan Dewan Undangan negeri (DUN) ialah 40,024 Melayu, 14,490 (Cina), (3,715) India dan lain-lain bangsa (228). Pusat penjumlahan undi adalah di Institut Perguruan Tuanku Bainun, di Mengkuang dan dijangka keputusan akan dapat diketahui pada pukul 9 malam. –Malaysia Today

Thursday, July 31, 2008

AUKU

AUKU atau Akta Universiti dan Kolej Universiti telah mula diperkenalkan pada tahun 1971. Beberapa pindaan kemudiannya telah dibuat pada tahun 1975. Antara mereka yang terlibat secara langsung termasuklah Y.A.Bhg. Tun Dr Mahathir Muhamad yang pada ketika itu merupakan Menteri Pelajaran Malaysia.

Sememangnya terdapat sejumlah kepincangan di awal perlaksanaan Auku. Persoalan seperti kenapa Auku dilaksanakan dan kepada siapa Auku ditujukan akan menjawab sama ada perlu atau tidak Auku sekadar dipinda atau sewajarnya dimansuhkan.

Sejarah membuktikan bahawa Dr Mahathir atau Chedet bukan asing dalam gerakan mahasiswa. Partisipasi beliau dalam menggerakkan jentera pelajar, menyuarakan keperitan dan kesusahan rakyat tidak mungkin dapat dinafikan. Gerakan mahasiswa pimpinan beliau sering memberikan tamparan kepada pihak pemerintah. Suara mahasiswa jelas sebagai the third voice telah menjadi kuasa penyeimbang kepada pemerintah selain pihak pembangkang yang berorientasikan politik.

Selain itu, komitmen dan gerakan mahasiswa kampus khususnya Universiti Malaya telah banyak menyumbang bagi menyelamatkan karier politik beliau yang pernah dibuang dari UMNO ekoran kritikan keras beliau dalam bukunya “Malay Dilema”. Semangat juang mahasiswa kampuslah yang telah menjuang kembali Dr Mahathir di arena politik nasional.

Setelah menyedari hakikat tersebut, pada ketika beliau menjadi sebahagian dari pemerintah semacam hak dan kebebasan yang pernah beliau nikmati dalam gerakan anak muda yang berpendidikan tinggi ini ingin pula dinafikan. Teringat saya pada perbilangan kata, “ibarat melepaskan anjing tersepit”.

Justeru, dapat kita fahami bahawa Auku walau pada umumnya terkesan kepada seluruh warga IPTA dan IPTS tetapi hakikatnya ditujukan khusus kepada mereka yang aktif berpatisipasi dalam gerakan mahasiswa. Mereka yang mampu menggugat kestabilan politik nasional dan survival pihak tertentu. Auku tidak akan menghantui anda yang hanya berada di alam kitaran 3K iaitu kuliyah, kefe dan kolej.

Auku menjadi alat yang paling ampuh bagi menyekat gelombang anak muda yang berpaksikan kebenaran dan keadilan, yang bebas dari pengaruh pihak ketiga dari terus membayangi perilaku dan aktiviti pihak pemerintah. Bermula tahun 1980an sehingga sekarang, kita dapat melihat kesan yang amat mendukacitakan. Tiada lagi pekikan slogan “student power”, “student control” dan sebagainya terungkap dibibir mahasiswa. Jika ada, jumlahnya amatlah sedikit.

Hal ini seperti yang diungkapkan oleh Prof Muhamad Abu Bakar dalam bukunya “Mahasiswa Menggugat” iaitu proses pemandulan idealisme dan aktivisme mahasiswa. Mahasiswa diajak mejadi lembu, yang ditentukan arah mana yang akan dituju. Berdikari? Jauh sekali.

Alam mahasiswa semacam disempitkan hanya pada buku dan kuliyah sedang kehidupan adalah lebih dari sekadar buku dan dewan kuliyah. Kadang-kadang ada juga terlintas difikiran saya, mungkin mahasiswa kini ibarat katak yang sudah bebas melompat dari tempurung kegelapan tetapi diikat pula kakinya.

Ya, Auku tidak boleh disalahkan seratus-peratus dalam hal ini. Dengan kejelasan idealisme dan sudut pandang alam yang benar, pastinya perkara ini dapat dibendung. Namun, tidak boleh tidak, Auku tetap memberikan implikasi kepada kelahiran graduan yang gagal dalam alam realiti, pasca universiti.

Justeru, setelah kita fahami siapa fokus utama Auku dan kenapa Auku dilaksanakan, pastinya kita sudah mampu membuat keputusan. Walaupun pada ketika ini, untuk memansuhkan Auku suatu yang mustahi, tetapi kesediaan pemerintah meminda beberapa pekara dalam Auku sewajarnya disambut baik oleh semua pihak.

Namun, harus kita fahami, pindaan berupa kosmetik kepada Auku tidak akan merubah apa-apa kepada universiti, pelajar dan pengajarnya. Jelas Prof Aziz Bari, pensyarah Undang-undang UIAM bahawa, “pindaan yang ingin dibuat hanyalah bersifat kosmetik...justeru, ia sewajarnya dimansuhkan sahaja.” dalam satu Seminar AUKU yang diadakan di Dewan Perniagaan Cina, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pun begitu, pada pendapat saya, Seksyen 15 dan 16 harus diberikan penekanan yang sewajarnya. Secara umum seksyen tersebut jelas bertentangan dengan hasrat pemerintah khususnya Kementeriaan Belia dan Sukan dalam usaha meramaikan jumlah belia yang aktif dalam menggerakkan persatuan-persatuan dan kelab-kelab baik di peringkat kawasan mahupun di peringkat nasional menerusi Akta Belia yang baru diperkenalkan.

Kesediaan Kementeriaan Pengajiaan Tinggi (KPT) membenarkan ahli politik secara terbuka menyampaikan ceramah yang berkaitan dengan subjek pembelajaran harus dipuji. Keterbukaan mahasiswa berdaftar dengan parti politik menandakan politik negara semakin menghampiri kematangannya. Kebenaran para pelajar aktif berpersatuan di luar kampus tanpa kebenaran HEP jelas membantu mendewasakan dan merakyatkan mahasiswa. Selain itu, penambahbaikan sistem judisiri yang melibatkan mahasiswa suatu keputusan bijak. Masakan tidak, ungkapan William Shakespears, anak muda ibarat, “cold in blood, green in judgement”.

Bacaan kali kedua di Dewan Rakyat pada Ogos hadapan diharap dapat memberi sinar baru kepada seluruh warga IPT. Segala perubahan diharap benar, jujur dan ikhlas kerana mahasiswa, demi mahasiswa, unutk mahasiswa.

Abu Qassim Nor Azmi, BSMS

Thursday, July 10, 2008

MEMBANGUN MAKNA MADANI INSANI PELAJAR KONTEMPORARI



Persidangan Dunia mengenai Pendidikan Muslim yang diadakan buat pertama kalinya di Jeddah dari 31 Mac hingga 8 April 1977 menghasilkan Perisytiharan Makkah yang menetapkan bahawa matlamat pendidikan hendaklah merangkumi perkembangan seimbang dalam keseluruhan peribadi insan melalui latihan rohaniah, intelek, rasional, perasaan dan indera; dan wahyu serta akal berperanan sebagai sumber pendidikan.

Laporan Jemaah Menteri yang dibentangkan pada 1979 memperlihatkan perselarian dengan Perisytiharan Makkah, dan menjadi permulaan kepada pembentukan falsafah pendidikan negara yang lebih luas. Faktor keseimbangan dan kesepaduan dimanifestasikan dalam Falsafah Pendidikan Negara yang dirumuskan pada 1988 dan dimaktubkan dalam Akta Pendidikan 1996. Falsafah Pendidikan Negara menegaskan bahawa, “Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertangungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteran diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara”. Dalam penegasan tersebut tertera harapan dan objektif insaniah bersepadu terhadap pembangunan individu, baik dari soal intelektualisme, idealisme, aktivisme mahupun spiritualismenya, ke arah pembinaan masyarakat ulung yang madani dan kontempolari.

Masyarakat Madani: Wilayah Pelajar

Idea Masyarakat Madani

Konsep masyarakat madani telahpun dibahaskan dalam falsafah politik Islam lebih kurang seribu tahun dahulu seperti kajian Ibn Khaldun dan Al-Farabi. Dalam zaman moden, konsep yang hampir sama atas nama masyarakat sivil telah dibahaskan oleh sarjana barat seperti Hegel, de Tocqueville, Durkheim dan Habermas.

Ibn Khaldun menggunakan istilah madaniyyah yang merujuk kepada peradaban dan kemakmuran hidup serta amat berkait rapat dengan masyarakat ketamadunan (civilized society), “…it has a higher form or religion, a well-organized state, a system of law, city life, a developed system of writing (script), and distinctive forms of art and architecture.” (Beg, M.A.J.,1982).

Manakala Al-Farabi menurut D.M Dunlop (1961), dalam bukunya Fusul al-madani (Aphorisms of The Statement), menegaskan bahawa dalam masyarakat madani pada tahap rendah, anggota-anggotanya saling bekerjasama sekadar untuk mendapat keuntungan peribadi, membantu dari aspek kebendaan dan sekadar berdagang dan berniaga. Sifat ananiyyah, atau nafs-nafs masih menebal dalam jiwa anggotanya. Manakala, masyarakat madani pada tahap yang lebih tinggi para anggotanya berganding bahu membina tamadun luhur iaitu “untuk mencari dan menegakkan kebenaran, mencapai kebahagiaan, memupuk kecintaaan terhadap ilmu dan memakmurkan masyarakat dengan perkara-perkara baik dan mulia”. Menurut Osman Bakar (1998), Al-Farabi juga meletakkan ajaran agama sebagai teras kepada pewujudan masyarakat madani.

Prof Syed Naquib Al-Attas (1977), mengenengahkan makna tamadun sebagai “keadaan kehidupan insan yang bermasyarakat yang telah mencapai tahap kehalusan tatasusiala dan kebudayaan yang luhur bagi seluruh masyarakat”.

Y.Bhg. Dato’ Seri Anwar Ibrahim, membuat kesimpulan bahawa masyarakat madani adalah, “sistem sosial yang subur yang berasaskan prinsip moral yang menjamin keseimbangan antara kebebasan perseorangan dan kestabilan masyarakat; masyarakat yang mendorong daya usaha serta inisiatif individu baik dari segi pemikiran, seni, ekonomi dan teknologi, sistem sosial yang cekap dan saksama serta perlaksanaan pemerintahan mengikut undang-undang…”


Ciri-Ciri Masyarakat Madani

Daripada perbahasan tadi, dapat kiranya kita merumuskan bahawa masyarakat madani memiliki beberapa ciri-ciri wajib, anataranya, sebuah masyarakat yang mengamalkan budaya murni berteraskan keadilan, keihsanan dan kebenaran dalam semua aspek sosio-budaya, ekonomi dan politik. Selain itu, masyarakat madanai juga mengutamakan hak-hak asasi manusia yang berpaksikan kehidupan berakhlak serta keutamaan kepada menunaikan tangaungjawab individu dan masyarakat bagi memelihara dan mempertahankan kesejahteraan dan keamanan berlandaskan undang-undang yang adil dan saksama. Masyarakat yang memberi keutamaan keperluan asas, dinamika budaya, kecerdasan dan kemandiriaan ekonomi, menjaga kelestarian alam dan mewujudkan partisipasi aktif di kalangan rakyat.

[1]Sebuah masyarakat madani juga penting untuk dilihat dari aspek penyanjungan tinggi perkembangan dan penghayatan ilmu dan budayanya, pembentukan peribadi unggul, kaya dengan daya cipta yang kretif hasil kejelasan makna kesejagatan ilmu seperti yang diungkap oleh Prof Wan Mohd Nor Wan Daud, sebagai “seseorang yang boleh menyimpulkan makna seharusnya mempunyai pemikiran yang analtis dan sintesis yang berdaya cipta”.

Wilayah Pelajar

Justeru, dalam konteks masyarakat pelajar, idea madani ini sewajarnya dihadam dan diorientasikan dalam bentuk gerakan yang lebih menyeluruh dan sistematik. Rangka masyarakat madani ini, menurut Al-Farabi tidak terhad kepada peringkat kampung, bandar, kotaraya, dan negara, tetapi juga boleh jadi pada peringkat global yang jauh lebih luas medan wilayahnya mahupun yang lebih kecil ruang pengaruhnya seperti peringkat sekolah dan masyarakat kampus.

Apa yang ingin ditegaskan oleh penulis menerusi idea masyarakat madani ini adalah kesepaduan dan kesepakatan idea agung yang mampu mengikat para pelajar, generasi muda, penerus agenda bangsa ini pada aras pemikiran yakni wahdatul fiqr walau perberbeza ras dan budaya yang mungkin menjadi penghalang sekiranya idea pemersatu ini dipolemikkan demi kepentingan sebilangan kecil masyarakat, kelompok yang kurang beradab. Penulis juga melihat kompenen asas masyarakat madani ini seperti agama, kehalusan akhlak, serta nilai ilmu dan penghayatannya boleh meghasilkan keputusan yang positif terhadap permasalahan remaja yang semakin meruncing, baik dari soal sahsiahnya, adab dan hakisan budaya ketimurannya, gaul-sosial serta tahap kesarjanaan khusus peringkat mahasiswa pengajian tinggi.

Fenomena kelesuan mahasiswa, yang disebut oleh Prof Muhammad Abu Bakar, dalam Mahasiswa Menggugat, 1975 yang dapat penulis katakan sebagai wajib-haraki untuk dihadam oleh segenap mahasiswa, institut pengajian tinggi awam mahupun swasta, antara lainnya bertitik-tolak dari kegagalan menggagaskan idea-idea besar yang mampu menyepakati setiap suara majoriti dari suara-suara kebenaran. Justeru, Malek Ben Nabi, dalam unggkapan beliau menyatakan “masyarakat yang ingin maju memerlukan idea pendorong (guiding ideas) bagi memacu perjuangan” dan di sini relevannya idea masyarakat madani sebagai guiding idea terhadap kebangkitan semula mahasiswa.

Justeru, pembinaan masyarakat madani dari konteks yang sebenar hanya akan dapat direalisasikan jika terlaksana dengan jayanya proses pembentukan fardhan muslim dari konteks Islami dan individu bersepadu dari konteks umum. Namun, tidak boleh tidak, manusia mahupun insan dan proses perkembangannya tidak boleh bersifat exclusive, tetapi sangat perlu kepada strategi yang inclusive dan jama’iy bersepadu yang menggunapakai kelebihan individu untuk menampung kekurangan individu lain dan proses ini berlangsung secara timbal-balik dan berterusan.

Insan Adabi: Pendukung Cita-cita Madani

“Insan berilmu akan memiliki kekuatan dan kesediaan untuk terus menerima pandangan – menerima teguran, menerima nasihat – menerima pendapat, berteraskan sifat takwa dan keimanan yang mengenali kebesaran Ilahi. Bahawa yang sempurna itu adalah Allah juga. Kerana itu insan berilmu mengamalkan sifat merendah diri – laksana padi, semakin berisi, semakin tunduk. Insan berilmu jika sekalipun bergelar mahaguru, masih mengamalkan budaya murid, masih belajar dan terus belajar. Insan berilmu bersedia menjadi makmum meskipun diiktiraf sebagai imam. Segala ini berlaku jika sifat insani, sifat pengabdian diri kepada Ilahi subur berakar di dasar hati – segar mekar di denyut nadi”.[2]

Memimpin sebuah gagasan besar, yang sarat dengan nilai pembinaan individu dan masyarakat, pendukung idea madani ini harus bersedia untuk melakukan penjernihan adab insani, agar lahir secara langsung atau tidak langsung, sifat metamofasikal yang membawa perubahan diri kea rah yang lebih baik. Kebanyakkan di kalangan orang yang baik adalah mereka yang terpelajar. “Baik” di sini menurut Al-Attas, merujuk kepada “yang meliputi kehidupan spiritual dan material seseorang, yang berusaha menanamkan kualiti kebaikan yang diterimanya”. Justeru, yang dimaksudkan dengan terpelajar adalah yang beradab insan adabi. “Orang baik adalah orang yang insaf sepenuhnya tanggungjawab dirinya kepada Tuhan Yang Hak; memahami dan menyelenggarakan penunaian keadilan terhadap dirinya dan diri-diri lain dalam masyarakatnya; yang terus berupaya meningkatkan setiap aspek dalam dirinya menuju kesempurnaan sebagai insan adabi”.[3]

Al-Attas seterusnya mendefinisikan adab seperti berikut; “adab adalah pengenalan dan pengakuaan terhadap realiti bahawa ilmu dan segala sesuatu yang terdiri daripada hierarki yangs sesuai dengan kategori dan tingkatannya, dan bahawa seseorang itu memiliki tempatnya masing-masing dalam kaitannya dengan realiti, kapsiti, potens fizik, intelektual, dan spiritual”. [4]Pengenalan di sisni bermaksud mengenal kembali (recognize) Perjanjian Asal (primordial convenent) antara manusia dengan Tuhan. Selain itu, hal ini turut menunjukkan bahawa setiap sesuatu di alam ini punya tempat masing-masing. Pengakuan pula bermaksud melakukan sesuatu yang sesuai dengan apa yang telah dimaksudkan di atas.

Justeru, dapat disimpulkan pengertian adab dalam konteks insan adabi ini kepada tujuh perkara iaitu, pertama, suatu tindakan untuk mendisiplinkan jiwa dan fikiran. Kedua, pencarian kualiti dan sifat jiwa dan fikiran yang baik. Ketiga, perilaku yang benar dan sesuai yang berlawanan dengan perilaku salah dan buruk. Kempat, ilmu yang dapat menyelamatkan manusia dari kesalahan dalam mengambl keputusan dan dari sesuatu yaag tidak terpuji. Kelima, pengenalan dan penakuan kedudukan sesatu secara benar dan tepat. Keenam, suatu kaedah mengetahui yang menghasilkan kedudukan sesuatu secara benar dan tepat. Ketjuh, jelmaan keadilan sebagaimana ditonjolkan oleh hikmah, “knowledge of proper places of things”.

Sebagai pelajar dan mahasiswa, penggerak generasi muda, kita perlu keluar dari kepungan unsur robotik yang telah mula membarahi keluarga besar ini. Dengan memahami konsep adab dari tasawwur yang lebih luas, penulis percaya generasi pelajar kontempolari mampu melakukan pemurnian pandangan alam pendidikan, yang bukan sahaja melibatkan proses ta’lim, pengajaran, tarbiyyah, pengembangan idea malah ta’dib, proses mendidik akhlak mulia, innama bu’ithtu li-utammima husna al-akhlaq. Selain itu, dengan kecairan makna adab dalam setiap praktis pelajar dan mahasiswa, mereka akan lebih berhati-hati, prihatin dan peduli dengan setiap pembenaran niat dan matlamat, lontaran kata bicara serta perlaksanaan tugas dan gerak laku, agar tidak menyalahi kedudukan dan tempat asal sesuatu perkara, sehingga membawa mereka lebih menghargai dan mencintai nilai kebenaran dan keadilan sejagat.

Dengan penuh rasa keinsafan terhadap prinsip kebenaran dan keadilan yang didasarkan kepada ilmu pengetahuan tentang tempat letak asal sesuatu perkara, penulis yakin bahawa idea masyarakat madani dalam wilayah pelajar dan mahasiswa akan dapat ditunaikan oleh insan adabi yang penuh rasa tanggungjawab terhadap yang hak, baik hak bersifat horizontal mahupun yang bersifat vertikal.

Kesimpulan

Pembangunan sebenar menurut Prof Wan, adalah lebih tepat untuk digunakan istilah pengislahan yang membawa konotasi kebaikan dari semua segi, dalam semua jenis kegiatan yang dapat dilihat dari kata dasar islah yang bermaksud perbuatan kepada seseorang atau sesuatu yang membuatnya baik, betul dan teratur. Mutu pengislahan sesuatu bangsa sangat bergantung kepada nilai kebaikan diri dan masyarakat yang ditinggalkan kepada masyarakat lain dan alam persekitarannya. Justeru, Dasar Pengislahan Negara, DPN adalah untuk mencapai pengislahan berimbang ke arah mencipta masyarakat yang berpegang teguh pada dasar-dasar agama dan akhlak, lebih bersatu-padu, lebih beradab, maju ekonomi dan teknologi dan adil .[5]

Oleh itu, kesepaduan penghayatan ilmu pengetahuan, penggerak insan adabi, luhur budi dan akhlak, serta kelompok masyarakat madani yang terkehadapan nilai, sangat penting bagi mencorak seterusnya mengamalkan dengan yakin dan istiqamah dasar pengislahan negara. Cabaran pengislahan individu dan dunia luar menggariskan lapan perkara, antaranya penyelidikan dan pengajiaan, peningkatan ilmu pengetahuan, keikhlasan niat, pemulihan akal, penyuburan kehidupan peribadi, pentadbiran dan pengurusan keluarga, keamaan dalam negeri, dan keamanan dunia.

Segala yang digariskan ini adalah semata mengarah kepada matlamat mengecapi kebahagian hakiki yang menurut Imam al-Ghazali dalam Alchemy of Happiness, dan jumhur ulama mu’tabar sebagai, “ilmu pengenalan mengenai Allah (ma’rifat Allah) manakala Al-Attas berpendapat, “kebahagiaan bukan dianya merujuk kepada sifat badani dan jasmani insan…kebahagiaan itu merujuk kepada keyakinan diri akan Hakikat Terakhir yang Mutlak yang dicari-cari itu- yakni: keadaan diri yang yakin akan Hak Ta’la…” Walau dengan kebenaran ilmu, keadaban insan, pendukung gagasan besar madani, namun tanpa nilai keberanian dan kesungguhan segalanya tidak mungkin akan berhasil seperti mana yang diungkapkan oleh Imam Hassan al-Banna, “sifat kelakian (kejantanan) tidak akan lahir kecuali dengan keberanian, ketekunan, kesungguhan dan amal usaha yang bersungguh-sungguh dan terus-menerus.”[6]



[1] Ayub, Musatafa Kamil, 2001, Merialisasi Masyarakat Madani, Citra Politik Alaf Baru, IMAD,hlm.12-13

[2] Titah Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah, pada majlis perasmian Konvensyen Pendidikan Suluh Budiman XIII di Ipoh, 8 September 2004.

[3] Wan Daud, Wan Nor,1995, Falsafah dan Amalan Pendidikan Islam, Syed M. Naquib Al-Attas, Satu Huraian Konsep Asli Islamisasi, Penerbit Universiti Malaya, hlm.117

[4] Wan Daud, Wan Nor,1995, Falsafah dan Amalan Pendidikan Islam, Syed M. Naquib Al-Attas, Satu Huraian Konsep Asli Islamisasi, Penerbit Universiti Malaya, hlm. 119

[5] Wan Daud, Wan Mohd Nor,2005, Pembangunan di Malaysia, Kearah Satu Kefahaman Baru Yang Lebih Sempurna, Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya

[6] [6] Mohammad, Yusri,1996, Kemantapan Harai Dalam Mendepani cabara Semasa, Terbitan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia, PKPIM, hlm.170


ABU QASSIM NOR AZMI
UIAM, KUANTAN

Sunday, June 29, 2008

Cabaran Kehidupan Kampus

Kemasukan lebih 40 ribu orang pelajar ke institut pengajian tinggi awam (IPTA) bagi semester satu sesi 2008/2009 menyaksikan peningkatan yang memberangsangkan berbanding tahun-tahun sebelumnya. Hal ini selaras keputusan kerajaan bagi memastikan peluang pendidikan yang lebih baik kepada seluruh rakyat Malaysia. Hasrat Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang mensasarkan sekurang-kurangnya dua buah universiti tempatan tersenarai di kalangan 50 universiti terbaik dunia sebelum tahun 2020 bakal terbeban bukan sahaja kepada tenaga pengajar, staf pengurusan malah para pelajar, mahasiswa dan mahasiswi.

Justeru, timbul persoalan, sejauh manakah kemampuan pihak universiti khususnya bidang akademik mampu merialisasikan hasrat murni tersebut? Sudah tersemaikah budaya intelektual khususnya di kalangan mahasiswa di universiti? Kehidupan bagaimanakah yang seharusnya dilalui oleh para pelajar bagai memastikan impian ini tidak sekadar angan-angan tetapi berupa kenyataan yang bakal menguntungkan warga universiti dan masyarakat umum?

Persoalan-persoalan tersebut mengilhamkan semacam perlunya suatu bentuk reformasi tersusun terhadap cara hidup dan latar budaya di universiti. Dalam keterbatasan waktu, pihak pentadbiran, tenaga pengajar malah para pelajar harus sedia berkorban dan iltizam dalam membuat perubahan tersebut.

Ledakan informasi seperti yang diungkapkan oleh Alan Bloom dan cabaran gelombang baru yang disifatkan oleh Alvin Toffler dalam bukunya Third Wave sebagai cabaran gelombang maklumat akan terus menghimpit ruang selesa mahasiswa. Gelombang baru ini megkehendaki bukan sahaja ketepatan dan kejituan malah kepantasan. Segalanya menjadi begitu pantas. Hal ini memerlukan daya tahan yang tinggi dan fokus yang berterusan di kalangan mahasiswa. Sedetik kelekaan bakal membawa kepada kekecewaan.

Survival di kampus juga tidak terhad kepada indeks prestasi kecemerlangan akademik semata-mata. Tatacara kehidupan, nilai moral dan adap sopan turut memainkan peranan yang tidak kurang pentingnya. Statistik menunjukkan faktor utama yang menyumbang kepada kegagalan pelajar di universiti adalah disebabkan oleh keterlibatan mereka dengan aktiviti-aktiviti super sosial yang menjangkaui batas moral, agama dan budaya ketimuran.

Titah Raja Muda Perak baru-baru ini seharusnya diambil iktibar agar penumpuan melampau terhadap kecemerlangan akacemik dapat diperbetulkan kepada penilaian yang lebih berobjektif dan menyeluruh. Oleh hal yang demikian, cabaran pendidikan tidak seharusnya terlalu dirigidkan kepada indeks skor “A” tetapi yang perlu dipertimbanglkan secara serius adalah sejauh mana input yang diperoleh di dalam mahupun di luar dewan kuliah dapat difahami, dijiwai dan seterusnya diimplimentasi dalam kehidupan seharian.

Menerusi amalan budaya ilmu yang sebenar akan mampu melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Inilah cita-cita dan harapan sebenar kerajaan terhadap seluruh warga pelajar seperti mana yang termaktub dalam Falsafah Pendidikan Negara, “Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertangungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteran diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara”.

Prof Muhamad Abu Bakar dalam bukunya Mahasiswa Menggugat menyatakan bahawa mahasiswa terikat dengan collective responsibility iaitu tanggungjwab terkumpul terhadap masyarakat.

Mahasiswa harus sedar bahawa tugas dan tanggingjawab mensejahterakan masyarakat dan memakmurkan negara ini bukan suatu tugas yang mudah tetapi tidak mustahil untuk dilaksanakan. Oleh itu, mahasiswa perlu bersatu hati, berpadu tenaga untuk merealisasikannya. John C.Maxwell menegaskan bahawa sesuatu tuasan yang dilaksanakan secara berkumpulan akan mampu melahirkan sumber kekuatan tambahan seterusnya menghasilkan impak yang maksimum.

Kesatuan dan kesepaduan di kalangan mahasiswa perlu didukung oleh gagasan idea-idea besar bagi mempastikan tidak berlakunya kelesuan di pertengahan jalan seperti yang sering dikaitkan dengan gerakan mahasiswa hari ini. Kepentingan gagasan idea ini turut ditekankan oleh Malek Ben Nabi sebagai the guiding idea atau ieda penggerak.

Kelesuan mahasiswa menggagas idea besar ini lahir sekiranya mahasiswa terkongkong dalam lingkaran kehidupan tiga “K” iaitu kuliah, kafe dan kolej kediaman sahaja yang menjerat mereka terhadap budaya mati rasa, jiwa santai. Justeru, mahasiswa perlu keluar menjangkaui tembok universiti. Kehidupan mahasiswa adalah kehidupan rakyat. Mahasiswa perlu menjadi mata yang melihat penderitaan rakyat, telinga yang mendengar rungutan rakyat, tangan yang membantu meringankan beban rakyat, dan mulut yang bersuara menyatakan keperluan rakyat.

Ingatlah, pemimpin yang sejati tidak hanya lahir dari dewan-dewan kuliah tetapi juga lahir dari kancah permasalahan rakyat. Ungkapan Mantan Perdana Menteri Indonesia ini jelas mengingatkan warga mahasiswa kepada tugas dan tanggungjawab mereka sebagai seorang pelajar universiti disamping tidak melupakan peranan mereka terhadap masyarakat.

Setelah memahami dengan jelas keadaan realiti masyarakat seharusnya mahasiswa akan terus cekal dan tabah serta lebih bersungguh dalam menempa kejayaan demi kejayaan. Pesanan Ungku Aziz, “belajar sambil mencabar” harus tertanam dalam jiwa mahasiswa. Jiwa adventures yang menggilai cabaran adalah realiti kehidupan anak muda.

Berbekalkan sebab yang kukuh yang lahir dari pemahaman terhadap kehidupan masyarakat dan ilmu yang mampu menundukkan hati agar kusyu’ dan akal agar lebih rasional dan berhikmah maka akan lahirlah pemimpin unggul yang berwawasan dan berdaya saing.

Akhirnya, kepada semua pelajar yang baru, diucapkan selamat maju jaya. Kepada para sukarelawan di kalangan pelajar mahupun staf pentadbiran, semoga usaha anda diberkati dan diberikan ganjaran yang setimpalnya. Impian kita semalam adalah realiti pada hari ini dan impian kita hari ini adalah kenyataan pada hari esok.

ABU QASSIM NOR AZMI

Biro Tugas-tugas Khas

Jawatankuasa Program Ta’aruf

Universiti Islam Antarabangsa Malaysia , UIAM

Sesi 2008/2009

Wednesday, June 11, 2008

Kewajaran Pemecatan Presiden UIAM


10 Jun 2008/Selasa

Berita pemecatan Y.Bhg Tan Sri Dato’ Sri Sanusi Junid sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, UIAM bukanlah suatu yang sangat mengejutkan lebih-lebih lagi dalam suasana ketidaktentuan politik dan ekonomi semasa negara.

Tsunami politik yang melanda pada PRU 12 yang lalu jelas mempunyai kelas impaknya yang tersendiri. Bukan sahaja parti politk malah kepimpinan institusi pengajian tinggi, IPT khususnya UIAM turut menerima kesannya.

Secara undang-undang, sememangnya DYMM Sultan Pahang sebagai Ketua Perlembagaan mempunyai hak untuk menamatkan kontrak tersebut walaupun ia masih berbaki kurang dua tahun. Namun, perlu untuk dinyatakan, peranan ‘host member’ penting dalam memberi pandangan dan syor kepada Ketua Perlembagaan. Persoalannya, siapakah penasihat tersebut dan apakah yang dinasihatkannya?

Pun begitu, keputusan telah dibuat. Sebagai mahasiswa yang dididik dengan semangat ilmu dan budi, harmonian akal dan emosi, tidaklah menolak secara mentah-mentah keputusan tersebut, tetapi merasakan terdapat sesuatu yang masih belum selesai malah sangat perlu untuk dipertimbangkan dengan sewajarnya.

Justeru, demi ketulusan penghukuman tersebut, dua persoalan harus diberikan penelitian serius. Pertama, apakah kesalahan beliau yang membawa kepada penghukuman sedemikian rupa? Sebesar manakah dosa tersebut sehingga tidak ada pertimbangan lain yang boleh menghalang keputusan tersebut?

Kedua, adakah beliau diberikan ruang dan peluang secara rasmi dan berprotokol untuk memberi hujah pembelaan, memperjelas segala yang samar, merungkai segala yang tersimpul? Sekiranya tidak, perkara ini ibarat mengangkat media sebagai mahkamah dan wartawan sebagai peguamnya. Adakah wajar perkara ini berlaku setelah pengstrukturan sistem kehakiman negara dilaksanakan demi menjamin keadilan kepada semua.

Adalah menjadi kebimbangan pastinya kepada seluruh warga UIAM, khususnya mahasiswa dan mahasiswi sekiranya persoalan ini dikesampingkan sebelum keputusan dibuat. Selian itu, turut dibimbangkan sekiranya isu keluar parti menjadi sebab utama pemecatan beliau.

Jika benar, maka jelaslah kepincangan Kementerian Pengajian Tinggi, KPT dan kerajaan khususnya dalam meihat perbezaan di antara kepentingan politik berparti dengan harapan dan masa depan pendidikan tinggi negara. Tambahan lagi, perkara ini akan secara tidak langsung membenarkan persepsi umum yang berperanggapan bahawa universiti tidak dipimpin ahli akademik yang benar tetapi pemimin yang jelas tunduk kepada kehendak politik berparti yang tidak menguntungkan secara total pemerkasaan budaya ilmu di universiti.

Sebagai mahasiswa yang sedar dengan tanggungjawab ilmu dan peranannya sebagai asas keadilan, maka gesaan berikut diutarakan. Pertama, memohon pihak berwajib khususnya pihak kerajaan menerusi Kementerian Pengajian Tinggi, KPT dan pihak UIAM untuk secara rasminya menyatakan dengan jelas sebab-sebab pemecatan Tan Sri Sanusi dari jawatanya menerusi sidang media terbuka. hal ini dapat menjernihkan segala kekeruhan yang berlaku sehingga kini.

Kedua, mewujudkan panel khas bagi menilai proses dan kewajaran pemecatan tersebut dan kesannya terhadap perlaksanaan dasar pemilihan kepmpinan utama universiti-universiti di Malaysia. Perkara ini penting agar proses pemilihan tersebut dilaksanakan secara telus tanpa melibatkan partisipasi aktif pihak ketiga.

Ketiga, mempertimbang suara umum di kalangan warga akademik dan pentadbiran UIAM termasuk warga pelajarnya dalam membuat keputusan tersebut. Hal ini selaras dengan dasar demokrasi yang subur di negara ini.

Gesaan ini tidak sedikit pun bertujuan untuk menderhakai keputusan DYMM Sultan Pahang, dan kredibiliti Tan Sri Sidek Hassan, Ketua Setiausaha Negara, selaku Presiden UIAM yang baru, tetapi lebih kepada menuntut penjelasan dan kepastian berhubung perkara ini. Sekiranya terdapat kesilapan, dapatlah kiranya keputusan ini dikaji semula agar kebenaran merahmati kita semua.

Akhirnya, konsep Taman Ilmu dan Budi yang menjadi asas budaya UIAM diharap dapat terus melahirkan graduan yang mampu menjadi penyuluh kepada masyarakat. Oleh hal yang demikian, kepimpinan yang unggul dan berobjektif sangat penting dalam merialisasikan impian tersebut.

ABU QASSIM NOR AZMI

Mahasiswa UIAM

Saturday, May 31, 2008

Biasiswa JPA: Kenyataan Nazri Mengelirukan


Pada sidang Dewan Rakyat lepas, saya terpanggil untuk mempersoal sama ada Biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) merupakan hak atau sekadar keistimewaan kepada pelajar bumiputra seperti mana yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan. Apakah juga biasiswa tersebut merupakan hak keistimewaan yang difikirkan mempunyai asas yang lebih kukuh dan meyakinkan.

Persoalan ini cukup penting kerana ia melibatkan soal pemahaman yang menentukan corak pelaksanaan sesuatu dasar tersebut. Kegagalan memahami sesuatu dasar dari konteks yang sebenar akan mejurus kepada salah tanggap serta ketidakbenaran perlaksanaan yang bakal melahirkan penentangan dari dasar-dasar sedia ada yang lain.

Justeru, kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz ketika menggulung perbahasan mengenai Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan 2008 (2007) yang melibatkan peruntukan sebanyak RM60 juta kepada JPA, “Biasiswa bukanya hak tetapi hanya lah keistimewaan” adalah sangat mengelirukan serta mengecewakan khususnya kepada pelajar bumiputra.

Sekiranya pemahaman ini yang diguna pakai oleh YB Menteri, maka tidak lah menghairankan sekiranya peruntukan Biasiswa JPA di kalangan pelajar bukan bumiputra meningkatan secara mendadak kepada 45 peratus berbanding 10 peratus pada tahun-tahun sebelumnya.

Sebagai tambahan, keputusan ini melibatkan kira-kira RM21 juta dari keseluruhan peruntukan tambahan dan sebanyak 700 peluang yang sewajarnya dimiliki oleh pelajar bumiputra terpaksa dilupakan. Apaka ini keistimewaannya?

Justeru, persoalan hak atau keistimewaan ini harus segera disemak kembali dan difahami makna, falsafah dan halatujunya oleh pihak kerajaan menerusi kementerian yang terlibat agar persoalan kouta tersebut dapat diselesaikan dengan tuntas dan saksama demi kebahagiaan dan kesentosaan hidup bermajmuk di Malaysia.

Saya berharap maklum balas segera dan kenyataan rasmi dari YB Menteri agar isu ini tidak terus dipolitik dan dipolimikkan. Adalah sangat mendukacitakan sekiranya soal pendanaan pendidikan kepada kumpulan sasar akhirnya tersasar hanya kerana ingin menyantuni ketidaktentuan politik semasa.

Akhirnya, kepada YB Menteri, apakah bumiputra sudah bersedia untuk berdikari, menampung kos pendidikan yang ratusan ribu banyaknya? Apakah sudah dikira kukuh ekonomi bumiputra hanya dengan kurang 20 peratus dari nilai kekayaan di Malaysia? Di manakah hak bumiputra di tanah airnya sendiri?

Keadilan tidak bermaksud peratusan sama banyak tetapi rangka keseluruhan dikaji, ditentu adil parasnya, ditambah secara berpada, agar tidak terbazir modal, dan hasil kolektifnya menguntungkan.

ABU QASSIM NOR AZMI

UIAM, KUANTAN

Wednesday, May 28, 2008

Biasiswa JPA pelajar bukan Melayu naik kepada 45 peratus

KUALA LUMPUR 28 Mei – Biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk program ijazah di luar negara kepada pelajar bukan bumiputera dinaikkan kepada 45 peratus daripada 10 peratus mulai tahun ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, secara keseluruhan sebanyak 2,000 biasiswa disediakan oleh JPA iaitu 1,100 untuk bumiputera dan 900 untuk bukan bumiputera.
“Pecahannya ialah 50 peratus untuk bumiputera dan 45 peratus kepada bukan bumiputera berbanding sebelum ini hanya 10 peratus sahaja diberikan kepada bukan bumiputera,” katanya ketika menggulung perbahasan mengenai Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan 2008 (2007) melibatkan RM60 juta kepada JPA di Dewan Rakyat hari ini.
Nazri berkata, hanya mereka yang benar-benar layak akan menerima biasiswa itu kerana permohonan yang diterima ialah sebanyak 15,220.
Daripada jumlah itu katanya, hanya 7,282 dipanggil temuduga dan hanya mereka yang benar-benar menepati kriteria sahaja dipilih.
“Kriteria pemilihan ialah 70 peratus untuk akademik, 10 peratus kegiatan kokurikulum, 10 peratus latar belakang keluarga dan 10 peratus lagi temuduga,” katanya.
Nazri berkata, tajaan JPA adalah untuk pelajar yang mendapat tempat di universiti bertaraf “Ivy Leaque” dan yang setara dengannya di luar negara, serta bagi pengajian ijazah pertama di universiti kampus cawangan seperti di Universiti Monash, Universiti Nottingham dan Universiti Curtins.
Mulai tahun ini juga katanya, lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2007 yang memperoleh 9A ke atas akan menerima biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk melanjutkan pengajian ke tingkatan enam di sekolah bantuan penuh kerajaan dan kursus matrikulasi serta asasi sains di institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
Oleh aznan bakar