Saturday, May 31, 2008

Biasiswa JPA: Kenyataan Nazri Mengelirukan


Pada sidang Dewan Rakyat lepas, saya terpanggil untuk mempersoal sama ada Biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) merupakan hak atau sekadar keistimewaan kepada pelajar bumiputra seperti mana yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan. Apakah juga biasiswa tersebut merupakan hak keistimewaan yang difikirkan mempunyai asas yang lebih kukuh dan meyakinkan.

Persoalan ini cukup penting kerana ia melibatkan soal pemahaman yang menentukan corak pelaksanaan sesuatu dasar tersebut. Kegagalan memahami sesuatu dasar dari konteks yang sebenar akan mejurus kepada salah tanggap serta ketidakbenaran perlaksanaan yang bakal melahirkan penentangan dari dasar-dasar sedia ada yang lain.

Justeru, kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz ketika menggulung perbahasan mengenai Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan 2008 (2007) yang melibatkan peruntukan sebanyak RM60 juta kepada JPA, “Biasiswa bukanya hak tetapi hanya lah keistimewaan” adalah sangat mengelirukan serta mengecewakan khususnya kepada pelajar bumiputra.

Sekiranya pemahaman ini yang diguna pakai oleh YB Menteri, maka tidak lah menghairankan sekiranya peruntukan Biasiswa JPA di kalangan pelajar bukan bumiputra meningkatan secara mendadak kepada 45 peratus berbanding 10 peratus pada tahun-tahun sebelumnya.

Sebagai tambahan, keputusan ini melibatkan kira-kira RM21 juta dari keseluruhan peruntukan tambahan dan sebanyak 700 peluang yang sewajarnya dimiliki oleh pelajar bumiputra terpaksa dilupakan. Apaka ini keistimewaannya?

Justeru, persoalan hak atau keistimewaan ini harus segera disemak kembali dan difahami makna, falsafah dan halatujunya oleh pihak kerajaan menerusi kementerian yang terlibat agar persoalan kouta tersebut dapat diselesaikan dengan tuntas dan saksama demi kebahagiaan dan kesentosaan hidup bermajmuk di Malaysia.

Saya berharap maklum balas segera dan kenyataan rasmi dari YB Menteri agar isu ini tidak terus dipolitik dan dipolimikkan. Adalah sangat mendukacitakan sekiranya soal pendanaan pendidikan kepada kumpulan sasar akhirnya tersasar hanya kerana ingin menyantuni ketidaktentuan politik semasa.

Akhirnya, kepada YB Menteri, apakah bumiputra sudah bersedia untuk berdikari, menampung kos pendidikan yang ratusan ribu banyaknya? Apakah sudah dikira kukuh ekonomi bumiputra hanya dengan kurang 20 peratus dari nilai kekayaan di Malaysia? Di manakah hak bumiputra di tanah airnya sendiri?

Keadilan tidak bermaksud peratusan sama banyak tetapi rangka keseluruhan dikaji, ditentu adil parasnya, ditambah secara berpada, agar tidak terbazir modal, dan hasil kolektifnya menguntungkan.

ABU QASSIM NOR AZMI

UIAM, KUANTAN

Wednesday, May 28, 2008

Biasiswa JPA pelajar bukan Melayu naik kepada 45 peratus

KUALA LUMPUR 28 Mei – Biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk program ijazah di luar negara kepada pelajar bukan bumiputera dinaikkan kepada 45 peratus daripada 10 peratus mulai tahun ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, secara keseluruhan sebanyak 2,000 biasiswa disediakan oleh JPA iaitu 1,100 untuk bumiputera dan 900 untuk bukan bumiputera.
“Pecahannya ialah 50 peratus untuk bumiputera dan 45 peratus kepada bukan bumiputera berbanding sebelum ini hanya 10 peratus sahaja diberikan kepada bukan bumiputera,” katanya ketika menggulung perbahasan mengenai Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan 2008 (2007) melibatkan RM60 juta kepada JPA di Dewan Rakyat hari ini.
Nazri berkata, hanya mereka yang benar-benar layak akan menerima biasiswa itu kerana permohonan yang diterima ialah sebanyak 15,220.
Daripada jumlah itu katanya, hanya 7,282 dipanggil temuduga dan hanya mereka yang benar-benar menepati kriteria sahaja dipilih.
“Kriteria pemilihan ialah 70 peratus untuk akademik, 10 peratus kegiatan kokurikulum, 10 peratus latar belakang keluarga dan 10 peratus lagi temuduga,” katanya.
Nazri berkata, tajaan JPA adalah untuk pelajar yang mendapat tempat di universiti bertaraf “Ivy Leaque” dan yang setara dengannya di luar negara, serta bagi pengajian ijazah pertama di universiti kampus cawangan seperti di Universiti Monash, Universiti Nottingham dan Universiti Curtins.
Mulai tahun ini juga katanya, lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2007 yang memperoleh 9A ke atas akan menerima biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk melanjutkan pengajian ke tingkatan enam di sekolah bantuan penuh kerajaan dan kursus matrikulasi serta asasi sains di institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
Oleh aznan bakar